Bismillahirrahmnirrahim... Assalamualikum semua pembaca blog comel CUB ni.. Harap semua dalam keadaan sihat wal'afiat bersama insan-insan tersayang di sisi..
Ana sebenarnya dah lama nak kongsi cerita tentang rawatan fototerapi jaundis bagi bayi-bayi baru lahir. Satistik merangkakan bahawa 80% daripada bayi yang dilahirkan akan mengidap jaundis neonatal. Dua kali Ana bersalin, kedua-dua anak Ana ada jaundis. Aazra mengalami jaundis yang rendah manakala Aasfa pula jaundisnya sangat tinggi pada hari ketujuh kelahirannya.
Aasfa terpaksa masuk ke wad semalaman dan al-kisahnya ummi tak dapat melelapkan mata. Al maklumlah tengah pantang, sensitif. Lepas itu, tak pernah tidur tanpa kedua-dua anak disisi, dalam pelukan. Aazra pun menangis sampai tertidur akibat terpaksa meninggalkan Aasfa di hospital.
Jaundis atau kekuningan adalah perkara yang normal. Ini kerana organ hati bayi masih belum matang dan tidak dapat mencernakan darah yang pecah dan rosak. Penguraian komponen darah menghasilkan bilirubun berwarna kuning. Peningkatan bilirubin menyebabkan tubuh bayi terutamanya kulit dan matanya menjadi kuning.
Rawatan fototerapi diberikan sekiranya bacaan bilirubin melebihi 300mmol/dl. Rawatan lampu biru ini berfungsi untuk menukarkan bilirubin kepada biliverdin yang lebih mudah dikumuhkan. Rawatan biasanya mengambil masa 48jam. Jaundis juga akan lebih cepat turun jika bayi kerap menyusu susu ibu terutamanya.
Sekiranya rawatan fototerapi gagal, rawatan yang lebih agresif seperti transfusi (pertukaran) darah harus dilakukan. Ia perlu dilakukan apabila bacaan melebihi 400mmol/dl. Rawatan ini perlu dijalankan kerana tahap bilirubin yang tinggi dalam darah dalam masa yang lama boleh menyebabkan kerosakan otak yang dinamakan kernicterus yang akan diikuti dengan demam, sawan dan gangguan pendengaran (apabila meningkat usia kelak).
Ramai yang tidak tahu bahawa rawatan fototerapi boleh dilakukan di rumah. Lepas keluarkan Aasfa dari wad, kami menyewa mesin fototerapi dari Home Phototherapy Services dan melakukannya sendiri di rumah. Ana rasa lebih tenang dan gembira kerana Aasfa berada di depan mata dan Ana dapat menyusukannya terus dari badan. Cuma sangat penat sebab perlu 'monitor' bayi tu setiap satu jam agar penutup mata bayi tidak tertanggal. Cahaya biru itu akan merosakkan mata bayi jika ianya terdedah secara langsung.
Punca-punca berlakunya jaundis pada bayi:
1. Penyakit kekurangan enzim G6PD di dalam darah.
2. Ketidak sesuaian kumpulan darah antara ibu dan bayi - iaitu faktor rhesus atau ABO.
3. Terlalu banyak sel darah merah (polycythemia)
4. Bayi pra-matang yang yang fungsi hatinya masih belum sempurna.
5. Komplikasi semasa lahir seperti selepas bersalin melalui kaedah vacuum (ni mungkin punca Aazra & Aasfa kena jaundis)
6. Jaundis juga boleh berlaku kerana keadaan luar biasa seperti hypothyroidism, jangkitan kuman, ibu menyusu yang memakan jamu atau ubat tradisional tertentu, anak yang tidak menyusu secukupnya.
7. "Breast milk jaundice"."Breast milk jaundice" boleh terjadi di sebabkan oleh kandungan susu ibu yang luar biasa di mana ia mungkin mengandungi komponen "beta glukoronidase" yang boleh merencatkan pemprosesan bilirubin.
.
Ini gambar Aasfa dengan rawatan fototerapi di rumah dan dikelolokan oleh Dr ummi Zalyana (yang perasan kejap). Hehehe.. Alhamdulillah... tahap bilirubin Aasfa turun dengan banyak dan dia disahkan bebas jaundis oleh Dr pakar kanak-kanak di Hospital Umra (ha..yang ni bertauliah).
Bagi yang berminat nak melakukan sendiri rawatan seperti ini di rumah, Ana nasihatkan dapatkan cadangan dan nasihat Dr terlebih dahulu, ikut segala langkah keselamatan yang diajarkan dan sabar menghadapi tangisan anak. Memang dia akan nangis terutama masa mata ditutup. Kan tak selesa. Namun, kebaikannya, anak depan mata, dapat menyusukan, tenang dari tekanan dan murah berbanding kos masuk wad.
Ana tahu tentang ini pun daripada kawan ana. Thanks to my dear, Nor Syahirah dan blog inspirasi littlemamadiary yang banyak berkongsi tentang 'Home Phototherapy'. Jemput baca blog tu ye sebab lebih terperinci. Kalau nak kongsi lebih lanjut dengan Ana, jangan segan calling calling tau. Semoga bayi kalian sihat dan membesar sebagai juara, Insyaallah, Amin...
No comments:
Post a Comment