CORETAN JARI JEMARI KU

Biarlah tulisan berbicara kerna itu lebih memberi makna. Izinkanlah suara bisu ini bernyanyi kerna ianya lebih merdu dan menenangkan.
Carilah permata dicelah-celah kaca walaupun jarimu terluka. Ianya pasti membahagiakan.

Sunday, May 25, 2014

Pengalaman bersalin yang kedua ~ induce, normal, vacum

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum.. Syukur Alhamdulillah..

Anak kedua ana berjaya ana kandungkan selama 40 minggu sehari. Pada malamnya, aku di 'induce' kerana belum ada tanda-tanda untuk bersalin. Jam 10 malam aku ditempatkan di wad dan doktor Karamjit Singh (doktor bertugas yang sama menyambut Aazra) datang memeriksa vagina dan memasukkan ubat 'induce' pada jam 11.45 malam.

Kontraksi yang pertama ana rasai pada jam 12.15 malam. Tapi masih perlahan dan tidak kerap. Mula menyedari ubat mula berfungsi, hatiku mula gembira. Berhajat untuk melahirkan si kecil pada keesokkan pagi selepas menghantar Aazra ke sekolah. Mataku enggan lelap sehingga jam 1.40 pagi.

Entah bila ana tertidur, ana dikejutkan dengan kontraksi yang kuat. Namun, ana tahankan selagi boleh. Setiap kali sakit, ana akan terjaga dan menahan kesakitan. Doa ana panjatkan agar ana akan bersalin selepas menghantar Aazra ke sekolah. Namun, jam 4 pagi membuatkan ana runsing. Sakit semakin kerap dan kuat. Misi masuk ke wad dan memeriksa kontraksi. Ana masih boleh lelap antara kontraksi dan ana tak ambil peduli untuk mengambil tahu seberapa kerap sakit tersebut.

Jam 4.25 pagi, misi datang mengejutkan ana dan membawa ana ke bilik bersalin. Malangnya, hanya ana, tanpa suami, yang ke bilik bersalin memandangkan Aazra tidak berteman. Ana harap suamiku dapat datang kemudian untuk menemaniku kelak.

Kontraksi semakin kuat dan kerap. Doktor memeriksa jalan vagina dan telah buka 4 cm. Kesakitan kian mencengkam mengingatkan ana pada saat melahirkan Aazra. Misi dan doktor menyarankan anamengambil gas penahan sakit setiap kali sakit hadir. Ana ikut saranan itu. Gas tersebut menyebabkan rasa kebas dan sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kesakitan. Disebabkan ana berseorangan tanpa suami, aku banyakkan berzikir, berdoa dan mengambil gas (mungkin satu kesilapan).

Malangnya, apa yang berlaku apabila kepekatan gas terlalu banyak dalam tubuh ana ialah, ana hilang, lalai dan terus lenyap, tidur dalam kesakitan. Sedar sahaja, sakit yang teramat dan ana tahu tiba masa untuk ana teran. Namun, ana masih dalam khayalan, antara sedar dan tidak sedar serta tiada tenaga untuk meneran keluar anak ana. Ku cuba dua kali meneran, dan ana dapat merasakan ana tak mungkin berjaya.

Anak telah buang air dalam perut,kata doktor. Risau keselamatan anakku dan menyedari ketidamampuanku pada masa itu, ana lantas memberitahu doktor bahawa ana terlalu sakit dan tak mampu meneran. Doktor mengambil keputusan mengeluarkan anak dengan cara vakum (sama seperti Aazra). Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, ana dengar suara anak menangis. Syukur. Tapi sakit kali ini sangat tidak disangka. Hampir putus nyawa ana rasakan. Tambahan, suami tiada disisi. Doktor menyatakan bahawa sekiranya dengan vakum tidak berjaya, ana bakal ditolak ke bilik pembedahan. Ya Allah, syukur tak dibedah. Kalau tidak, dua kesakitan, dua kali ganda tu..

Jahitan kali ini tidaklah sebanyak dan sesakit semasa melahirkan Aazra. Cuma kesakitan semasa mengeluarkannya, tak terucap, hanya Allah yang tahu. Selesai dijahit, suamiku masuk dan memegang tanganku. Ana hanya mampu menangis dan menangis. Walaupun sakit, ana lega dapat bersalin dan bersyukur anak syurgaku selamat. Cuma ana terkilan bertarung nyawa berseorangan tanpa suami.

Apa yang lebih menggembirakan ialah ana dapat menyusukannya dari hari pertama kelahirannya TANPA disajikan dengan susu formula terlebih dahulu. Kolostrum sebagai makanan asas pertahanan dapat memasuki rongga awal anakku ini. Syukur ya Allah. Moga aku mampu menyusukannya sehingga 2 tahun sekurang-kurangnya dengan rezeki susu Mu.

Seorang mujahid, 3.3kg telah dilahirkan ke muka bumi ini sebagai khalifah Allah pada jam 6.44 pagi, 15 mei 2014 bersamaan dengan 15 rejab 1435H.

Putera syurga ini dinamakan Aasfa Muszaffar Madanee bin Mustaza. Selari dengan namanya, semoga anak ummi babah menjadi insan yang mulia (Aasfa) di sisi Allah, memperoleh kemenangan (Muszaffar) didunia dan diakhirat disamping melakukan kemajuan (Madanee) diri untuk agama, bangsa dan negara. Insyaallah.

Selamat datang sayang ku. Putera hati ummi, babah dan ukhti Aazra.. Ahlan wa sahlan, ya Aasfa..



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...