Anak kedua ana berjaya ana kandungkan selama 40 minggu sehari. Pada malamnya, aku di 'induce' kerana belum ada tanda-tanda untuk bersalin. Jam 10 malam aku ditempatkan di wad dan doktor Karamjit Singh (doktor bertugas yang sama menyambut Aazra) datang memeriksa vagina dan memasukkan ubat 'induce' pada jam 11.45 malam.
Kontraksi yang pertama ana rasai pada jam 12.15 malam. Tapi masih perlahan dan tidak kerap. Mula menyedari ubat mula berfungsi, hatiku mula gembira. Berhajat untuk melahirkan si kecil pada keesokkan pagi selepas menghantar Aazra ke sekolah. Mataku enggan lelap sehingga jam 1.40 pagi.
Entah bila ana tertidur, ana dikejutkan dengan kontraksi yang kuat. Namun, ana tahankan selagi boleh. Setiap kali sakit, ana akan terjaga dan menahan kesakitan. Doa ana panjatkan agar ana akan bersalin selepas menghantar Aazra ke sekolah. Namun, jam 4 pagi membuatkan ana runsing. Sakit semakin kerap dan kuat. Misi masuk ke wad dan memeriksa kontraksi. Ana masih boleh lelap antara kontraksi dan ana tak ambil peduli untuk mengambil tahu seberapa kerap sakit tersebut.